TAIPING: Permukiman Menteri Besar siri 4 di Bukit Gantang dan Taiping sejak Selasa lalu menyaksikan pelbagai penambahbaikan selepas tiga siri yang terdahulu.

Pembaharuan paling besar ialah segala aktiviti yang dianjurkan berdasarkan kepada tujuh teras utama bagi membolehkan Menteri Besar dan 10 exco memberi fokus kepada teras berkenaan.
Teras-teras itu ialah kesejahteraan rakyat; kelestarian alam sekitar dan sumber alam; keselamatan; pendidikan, modal insan dan ICT; ekonomi dan pelancongan & kebudayaan; agama dan intergrasi serta sukan dan belia.

Karnival Mahabbah yang dianjurkan di Masjid Kampung Sungai Tinggi, Trong pada Jumaat adalah antara pembaharuan di bawah teras agama yang menggabungkan pelbagai aktiviti.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, antara aktiviti yang pertama kali diperkenalkan di dalam program pemukiman ialah temuduga bertulis untuk jawatan guru KAFA, Tadika Islam dan Azhariah.

“Kita juga buat pertama kalinya membuka kaunter untuk mendaftar sekolah-sekolah yang berkaitan dengan agama seperti sekolah agama rakyat, tadika Islam, pondok dan tahfiz,” katanya kepada Suara Perak.

Menurut beliau, pihaknya juga membuka kaunter pengisian borang permohonan sekolah-sekolah agama negeri dan permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

“Kita juga menjemput Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi bersama-sama di dalam qiamullail, forum perdana di samping mengimamkan solat Jumaat,” ujar beliau.

Katanya, kemuncak karnival itu ialah sewang kenduri rakyat yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri.

 


“Mereka beratur mengambil makanan dan duduk makan bersama-sama komuniti setempat tanpa protokol, tanpa tempat duduk khas dan mereka makan apa yang rakyat makan,” tambahnya.

Drs Nizar berkata, walaupun beberapa pembaharuan dibuat, aktiviti yang telah dijalankan di dalam siri-siri terdahulu, diteruskan bagi merapatkan ukhwah antara pemimpin dan komuniti setempat.

Antara aktiviti itu ialah CSR hammam, ziarah mahabbah terhadap saudara baru, membersihkan masjid, khidmat masyarakat, forum oleh Mahkamah Syariah, sumbangan kotak makanan.

“Program kemasyarakatan seperti membersihkan masjid turut melibatkan pegawai serta kakitangan JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) kerana tugas mereka bukan hanya duduk di pejabat tetapi juga boleh berada di lapangan,” tambahnya.

Beliau berkata, seperti siri-siri lalu, pihaknya akan membuat penilaian semula untuk mengenalpasti kekurangan yang berlaku, supaya dapat diperbaiki pada siri permukiman akan datang.