Lebih 4,000 masyarakat dari sekitar Tambun membanjiri Padang Awam Tanjung Rambutan sempena Karnival Sayangi Hulu Kinta.
Karnival anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta itu bermula seawal jam 7.30 pagi dengan pelbagai pengisian program melibatkan acara sukan dan gerai pameran.
Menurut Adun Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, penganjuran karnival itu sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih beliau terhadap sokongan masyarakat kepada Pusat Khidmat DUN.
“Hari ini bukan perhimpunan politik, saya selaku ADUN di kawasan ini begitu menghargai kerjasama dan sokongan penduduk di sini. Kami raikan mereka dengan pelbagai program menarik.
592a6122-a046-4022-a1b5-1b646770587f
“Tidak ketinggalan pemberian cermin mata percuma untuk warga emas berumur 45 tahun ke atas, selain acara berbasikal dan larian bersama rakyat,”katanya ketika ditemui pemberita di majlis itu.
Aminuddin yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tambun berkata karnival yang julung kali dianjurkan itu bakal diperluaskan di Manjoi dengan kerjasama Adun Manjoi, Mohd Ziad Mohd Zainal Abidin.
Terdahulu, Aminuddin dan Ziad meninjau di 16 buah gerai pameran yang terlibat selain beramah mesra dengan masyarakat berbilang kaum di karnival tersebut.

Antara gerai pameran yang menjadi tumpuan ialah dari Pasukan Gerakan Am (PGA), pertandingan gubahan dan masakan serta acara senamrobik.