PARIT BUNTAR: Karnival Kerjaya & Pendidikan Belia Negara yang diadakan di Dataran Alamanda Parit Buntar diharap dapat mengubah minda anak muda di peringkat akar umbi untuk menghadapi cabaran masa depan.
Karnival dua hari pada Sabtu dan Ahad itu menekankan kepentingan kerjaya dan pendidikan di kalangan anak muda yang disediakan oleh pelbagai pihak.
Karnival dua hari itu adalah anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), kerajaan negeri Perak, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Daerah Kerian dan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).
Presiden MBM merangkap pengerusi karnival, Mua’amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin berkata, selain elemen kerjaya dan pendidikan, pelbagai acara turut diadakan termasuk hiburan, forum dan dialog.
“Karnival ini juga merupakan platform bagi golongan belia mendapatkan informasi mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dan peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas forum peluang-peluang pelaburan dan pekerjaan di Perak di sini pada Sabtu.
Forum menampil dua penceramah, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Perak, Wan Noraini Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Kamis.
Terdahulu diadakan taklimat kerjaya bertajuk Hala Tuju Kerjaya yang disampaikan pegawai PEKA, Fikri Junit.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.
Ghadafi berkata, walaupun baru bermula, sambutan belia di sekitar Parit Buntar sangat menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 orang.
“Kita harap lebih ramai belia akan datang, bukan sahaja untuk mencari peluang kerjaya, malah bagi mereka yang telah bekerja juga boleh mengikuti latihan kemahiran untuk meningkatkan lagi kerjaya mereka,” ujarnya.
Beliau berharap, sekurang-kurang separuh daripada 3,000 peluang pekerjaan yang disediakan sepanjang karnival itu dapat diisi oleh anak muda di Parit Buntar.
Kira-kira 30 buah syarikat mengambil bahagian di dalam karnival itu di samping lebih 30 buah agensi dan institusi pendidikan/latihan dari negeri Perak dan kawasan berhampiran.