KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 435 haiwan eksotik termasuk sepasang anak orang utan yang cuba diseludup di kawasan perairan Kuala Perlis-Langkawi dekat sini, semalam.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromanian, berkata dalam kejadian 12.25 pagi itu, pihaknya menahan sebuah bot nelayan dinaiki tiga suspek warga Indonesia berusia antara 40 hingga 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua mereka mempunyai dokumen perjalanan sah, sebelum pemeriksaan lanjut menemui 39 kotak mengandungi 435 ekor haiwan pelbagai spesis.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen serta memberikan bukti berkaitan haiwan yang cuba dibawa masuk berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Marin Kastam, di sini, hari ini.

Antara haiwan yang dirampas adalah anak orang utan, anak musang albino, burung cenderawasih, burung alba cockatoo, burung electus parrot, burung bayan nuri, burung kuang raya, anak buaya dan sugar glider.

Berdasarkan penilaian Jabatan Perhilitan Perlis, semua haiwan terbabit dikategorikan sebagai spesis terlarang dengan spesis termahal dianggar bernilai setengah juta ringgit.

Subromanian, berkata suspek dipercayai membawa semua haiwan itu daripada Sumatera, Indonesia untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Taktik penyeludupan menggunakan jalan laut ini mengambil masa dua hari tiga malam dari Sumatera untuk sampai ke perairan Kuala Perlis-Langkawi ini.

“Semua suspek serta haiwan yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 – berita harian