“Ikhlas memberi tanpa balasan, sayang semua tanpa kira latarbelakang dan amanah dalam menguruskan peruntukan” merupakan pesanan yang sering dilafazkan arwah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad kepada ‘anak buah’nya ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Maslin yang merupakan anak didik arwah di UMNO Bahagian Kuala Kangsar berkata kata-kata itu sentiasa tergiang-giang ditelinganya seolah-olah arwah tidak putus-putus berpesan supaya amalan itu menjadi pegangan hidup beliau sebagai ahli politik.

Gambar kenangan…Mazlin Sham (kiri) bersama Allahyarham Wan Khair-il (tengah) dan ADUN Manong, Mohd Kamil Shafie. Ketiga-tiganya merupakan wakil rakyat di Parlimen Kuala Kangsar. 

“Itulah perkara yang sering dia pesan kepada saya. Kata-kata itu menjadi tulang belakang dan prinsip dalam saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin UMNO dan wakil rakyat,” katanya ketika ditemui.

Maslin berkata arwah juga sentiasa menggalakkan sifat berkasih sayang, ikhlas dan amanah dan nilai-nilai murni inilah yang diterapkan kepada pemimpin akar umbi sepanjang hayatnya.

Beliau berkata nilai-nilai murni dalam gaya kepimpinan arwah seolah-olah  meresap dalam hati sanubari setiap ahli bawahan sehingga membuatkan ramai yang terkesan dengan kehilangannya.

“Dia sentiasa meletakkan pentingnya amalan berkasih sayang, ikhlas dan amanah dan ianya telah sebati dalam hati kami. Sebab itulah kehilangannya memberi kesan amat mendalam buat kami semua,” katanya.

Menyorot kembali beliau dibawa masuk ke pesada utama politik, Maslin berkata beliau telah dikenalpasti oleh arwah untuk dijadikan anak didiknya.

“Bayangkan, pada tahun 1995 saya ‘dikutip’ oleh arwah walaupun pada ketika itu saya tidak mempunyai apa-apa, tak sapa kenal saya.

“Saya dibentuk, diajar dan diberi keyakinan untuk memimpin. Arwah juga meletakkan program-program kebajikan sebagai keutamaan dan saya antara orang yang diamanahkan untuk anjur semua program kebajikannya. Di situ banyak yang saya belajar darinya,” katanya.

Ditanya mengenai pembangunan, Maslin Sham berkata tidak terkira banyak pembangunan yang diterajui oleh arwah termasuklah memperkasa Bandar Kuala Kangsar sebagai pusat pelancongan dan Bandar Diraja.

Katanya dibawah arwah juga telah banyak transformasi yang dilaluli Bukit Chandan daripada segi kebajikan dan pendidikan.

Jelasnya lagi tanpa usaha dan inisiatif berterusn daripada arwah, kawasan Persisiran Sayong kemungkinan akan kekal sebagai ‘gajah putih’ berbanding sekarang yang kini begitu ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti.

Beliau turut meluahkan bahawa arwah merupakan mentor terbaik dalam mengilap potensi kepimpinan seseorang sehingga boleh melaksanakan tugas sebagai ahli politik.

 Tambahnya, terbentuknya dirinya sebagai seorang ADUN adalah hasil sentuhan arwah yang tidak pernah berputus asa walaupun beliau mempunyai kelemahan dalam kepimpinannya.

 “Ketika saya mula dibawa masuk, terlalu banyak kekurangan yang saya ada ada kerana saya hanyalah ahli biasa. Tapi arwah tidak pernah putus asa mendidik sehinggalah saya ada kepercayaan untuk bawa diri sebagai seorang wakil rakyat. Dia sentiasa jadi bahan rujukan saya dalam banyak hal,” katanya.

 “Kini saya kehilangan seorang mentor, sahabat, abang, penasihat dan orang yang sangat menyayangi saya,”katanya lagi.

Wan Khair-il terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar sepenggal setelah memenangi Pilihanraya Umum pada 2013.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat sebagai ADUN Bukit Chandan selama dua penggal sejak memenangi kerusi itu pada 2008. – Suara Perak