TAIPING – Perkhidmatan kaunseling amat penting dalam membantu mengelakkan masyarakat mengalami gangguan mental, yang akhirnya akan memberi kesan kepada anggota keluarga.

Pengerusi Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata gangguan emosi boleh berlaku membabitkan pasangan suami isteri dan remaja, yang jika tidak ditangani akan menyebabkan institusi kekeluargaan itu terganggu.

Sehubungan itu, May Ing berkata, pihaknya akan kerap turun padang bagi memaklumkan mengenai perkhidmatan kaunseling yang disediakan untuk masyarakat.

“Kita mempunyai pegawai kaunseling di setiap daerah untuk membantu masyarakat yang menghadapi masalah supaya mereka dapat dibantu bagi mengelak ia mengancam orang lain,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Perkhidmatan Kaunseling Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana di sini semalam.

May Ing berkata, kebanyakan masyarakat setempat terutama di PPR tidak mengetahui wujudnya perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menyebabkan masalah yang dihadapi tidak dapat ditangani.

Terdahulu dalam ucapannya May Ing berkata, perkhidmatan kaunseling oleh JKM kepada komuniti setempat dapat melahirkan masyarakat yang benar-benar harmoni dan progresif bagi mencapai hasrat negara maju serta inklusif.

Katanya, keharmonian dan kualiti kehidupan bukan sahaja bergantung kepada gaya hidup sihat dari aspek fizikal, tetapi juga tertakluk kepada keupayaan pada peringkat individu,  keluarga mahupun secara menyeluruh dalam menguruskan aspek kendiri, emosi, kognitif spritual dan tingkah laku dengan berkesan.

“Penerapan kesedaran serta pemerkasaan kefungsian psikologi pada peringkat individu, keluarga dan komuniti dalam mewujudkan tahap psikososial yang positif perlu menjadi amalan hidup rakyat,” katanya. – Bernama