IPOH – Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia akan disertai beberapa agensi lain untuk memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, sejak dijalankan beberapa minggu lalu, pihaknya mendapatkan pelbagai maklum balas daripada orang ramai.

Katanya, permintaan untuk diadakan di kawasan lain turut diterima daripada beberapa Ahli Parlimen melihat kepada sambutan yang menggalakkan.

“Kita dapat pelbagai maklum balas dan kesemua cadangan penambahabaikan ini akan dikaji untuk memastikan perkhidmatan ini dapat diteruskan. Kita juga mengalu-alukan agensi lain untuk turut serta pada masa akan datang dan mungkin boleh menjadi mini Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Saya juga akan berbincang dengan Datuk Bandar Ipoh bagi menempatkan satu kaunter Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama dengan kaunter sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Kompleks Pasar Besar Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, projek percubaan yang dijalankan di sekitar kawasan Parlimen Ipoh Barat itu akan diteruskan sebelum dilaksanakan di kawasan Parlimen lain.

Kulasegaran berkata, antara yang akan ditambah baik adalah kesesuaian lokasi kerana ada maklum balas diterima agar dibuat di tempat yang tertutup untuk memberi keselesaan kepada orang ramai.

Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia ini dimulakan pada 7 Julai lalu di Pasar Awam Kampung Tawas, di sini, diikuti di Pasar Awam Buntong dan terbaharu di Pasar Besar Ipoh.

Tiga agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membuka kaunter masing-masing pada program tersebut – sinar