SEREMBAN: Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) membuka kaunter bayaran setiap hari sepanjang Ramadan termasuk hujung minggu dan cuti umum.

Pengurus Besar PZNS, Nor Azmi Musa berkata, langkah itu diambil bagi menampung peningkatan bilangan umat Islam yang mahu membayar zakat fitrah serta harta pada bulan puasa.

“Waktu urusan kaunter PZNS yang menerima pembayaran secara tunai dan kad debit serta kredit bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang pada hari biasa manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Selain urusan pembayaran zakat, orang ramai juga boleh mendapatkan penerangan mendalam berkaitan pengiraan zakat harta di kaunter terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selain kaunter PZNS, orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah melalui 1,200 amil yang diberi tauliah di masjid dan surau di negeri ini, sepanjang Ramadan.

Katanya, pihaknya turut menempatkan pegawai zakat di beberapa pasar raya terpilih di Seremban bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Negeri Sembilan pada tahun ini ialah RM6.50 seorang – berita harian