IPOH: Dengan hanya bermodalkan RM200, pembeli kenderaan lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengaut keuntungan hingga 10 kali ganda apabila menjual semula kenderaan-kenderaan itu.

Seorang pemilik syarikat kenderaan terpakai dan barang gantian, Abdul Rahim Yatim, 55, berkata, setiap kenderaan lelong yang dibelinya sudah mempunyai pelanggan walaupun bidaan belum bermula.

“Kebiasaannya sebelum hari lelongan, pembida sudah melihat kenderaan itu, tidak kira ia dalam keadaan baik atau tidak, kenderaan itu masih berharga.

“Macam hari ni, saya membeli motosikal jenis Suzuki model RU120 pada harga RM200 dan saya boleh menjualnya semula dengan harga lebih RM2,000 di Kemboja sebab motor ini sangat laris di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lelongan awam di JPJ Perak di sini, semalam.

Selain motosikal itu, beliau turut berjaya membida sebuah motosikal Yamaha RXZ135 yang masih berkeadaan baik dan tidak memerlukan pembaikan semula pada harga RM1,500 sahaja.

Katanya, motosikal itu boleh dijual semula pada harga mencecah RM8,000.

Sementara itu, M. Simon, 25, mencuba nasib untuk membeli kenderaan lelong, namun beliau gagal mendapatkan sebarang hasil daripada 22 kenderaan yang dilelong.

“Ini kali pertama saya datang ke acara lelong, ingatkan boleh beli satu atau dua motosikal tetapi tidak berjaya. Mungkin lain kali saya boleh cuba lagi,” katanya.

Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, jumlah keseluruhan hasil lelongan yang dijalankan JPJ Perak semalam adalah RM12,080, melibatkan hampir 30 pembida.

Selain 18 motosikal, turut dilelong ialah sebuah lori, dua kereta dan sebuah jip, katanya.