PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak yakin inisiatif menangani ketirisan dan penyalahgunaan kuasa akan memastikan peruntukan kepada golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil akan kekal mencukupi meskipun berhadapan pengurangan dalam Belanjawan 2019.

Exco Kemudahan Awam, Infrastuktur, Pertanian dan Peladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua golongan terbabit yang berkelayakan akan menerima bantuan sewajarnya tanpa berhadapan masalah keciciran.

Menurutnya, dana bantuan kepada golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil mungkin berkurangan pada kali ini kerana kerajaan Pusat ada mengesan berlaku ketirisan yang tidak terkawal pada peruntukan disalurkan kerajaan tahun lalu.

“Meskipun ada pengurangan peruntukan, namun jika kerajaan berjaya mengelakkan pelbagai bentuk pembaziran dan ketirisan, penyaluran bantuan kepada golongan sasaran pasti dapat dicapai sepenuhnya.

Abdul Yunus menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak dan Pusat Ternakan Haiwan Air Kuning, Batang Padang.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri ketika ini pun sedang melaksanakan program pemutihan melibatkan elaun sara hidup nelayan dan skim baja padi bersubsidi kerana kita mahukan hanya nelayan dan petani yang betul-betul berkelay├ákan sahaja memanfaatkannya,” katanya kepada media pada majlis penyerahan input pertanian Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak Tahun 2018 di Dewan Serbagunan JKKK Tanjung Piandang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Abdul Yunus berkata, program pemutihan elaun sara hidup nelayan kini sedang dijalankan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) bagi memastikan hanya nelayan tulen sahaja yang layak menerima elaun tersebut.

Selain itu, beliau turut mendedahkan program pemutihan penerima skim baja subsidi kini sedang giat dilaksanakan Jabatan Pertanian dalam memastikan mana-mana kawasan sawah padi sudah dibangunkan sebagai taman perumahan atau ditukar kepada penanaman kelapa sawit dikeluarkan dari senarai itu.

“Dua program pemutihan itu adalah merupakan antara inisiatif terkini kerajaan negeri dalam menangani masalah ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam mengendalikan peruntukan bantuan kepada golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil.

“Saya yakin lebih banyak program sebegini rupa akan dilaksanakan dan melalui langkah penjimatan dibuat, kita berharap jumlah elaun sara hidup nelayan dan bantuan input pertanian serta penternakan bukan sahaja dapat dikekalkan, bahkan dapat ditambah pada masa hadapan,” katanya -sinar