BAGAN SERAI – Mana-mana sekolah di Perak hendak melaksanakan kerja amali membabitkan penggunaan bahan berbahaya digesa supaya membuat langkah pengawalan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terhadap pelajar sekolah.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Perak, Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, langkah pengawalan yang wajib diterapkan pihak sekolah adalah dengan meminta pelajar mengadakan latihan amali dalam kumpulan kecil supaya kadar risiko kepada pelajar terlibat dapat diminimumkan.

Menurutnya, sekolah boleh mengadaptasi bidang keselamatan dan kesihatan kepada setiap pelajar sekolah supaya tahap keselamatan mereka dapat dioptimumkan sewaktu mereka menjalankan sebarang kerja amali membabitkan penggunaan bahan berbahaya.

“Dengan kaedah itu, risiko berlaku kemalangan di sekolah bukan sahaja dapat dipertingkat, malahan proses pembelajaran pelajar dapat dijalankan dalam suasana kondusif.

“Kita juga sudah mempromosi langkah menekankan bidang keselamatan dan kesihatan pekerja dan pelajar di peringkat sekolah bagi menggalakkan lebih banyak sekolah mengambil berat terhadap aspek itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2018 anjuran Lake View College (LVC) di kolej berkenaan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini hari ini.

 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, K Mohanachandran dan Ketua Eksekutif LVC Bukit Merah, Mohd Jailani Che Idrus.

Program tiga hari itu bertujuan mempromosi bidang kesihatan dan keselamatan pekerja di samping meningkatkan kesedaran dalam bidang itu kepada golongan majikan, pekerja, sekolah dan orang awam.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kejadian empat murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Maha Ganesa Viddysalai, di Setiawan yang kini dirawat di Hospital Raja Pemaisuri Bainun di Ipoh dengan salah seorang daripadanya melecur hampir seluruh bahagian hadapan badan termasuk kemaluan dalam kejadian Rabu minggu lalu.

Mohd Hatta, siasatan sudah dibuat pihaknya dan pengurusan sekolah terbabit diarahkan membuat penilaian dan kawalan supaya kejadian itu tidak berulang.

Dalam perkembangan lain, susulan kejadian kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Shah Alam, Selangor sehingga menyebabkan kematian dua pekerja, Mohd Hatta menegaskan JKKP Perak sudah mengeluarkan surat arahan kepada kilang yang menggunakan bahan berbahaya di negeri ini supaya segera mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, JKKP Perak sudah mengambil data-data kilang yang menggunakan gas ammonia di Perak.

“Mengikut prosedur, JKKP Perak akan mengadakan pemeriksaan di kilang-kilang setiap 15 bulan sekali di bawah Akta Kilang dan Jentera serta Akta JKKP supaya mematuhi bidang kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

“Bagi pemilik kilang yang ingkar, notis amaran akan diberikan kepada mereka serta-merta sebelum tindakan lanjut diambil sekiranya masih berdegil,”katanya – sinar