IPOH: Penggunaan litar trek dan stadium mini Teluk Intan dibuat secara terkawal bagi memastikan balapan sintetik yang menelan belanja jutaan ringgit itu terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, stadium itu telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dibuka kepada orang awam.

Menurut beliau, penggunaan atau kejohanan serta majlis akan dikenakan sedikit sewaan untuk tujuan penyelanggaraan dan deposit.

“Ini untuk memastikan kemudahan-kemudahan di stadium itu digunakan secara bertanggungjawab.

“Berhubung aduan tidak dibenarkan masuk itu, mungkin kerana sebelum ini ia hanya boleh diakses melalui pintu pagar sekolah yang ditutup kepada orang awam semasa waktu persekolahan,” katanya semasa menjawab soalan lisan Terence Naidu a/l Raja (DAP- Pasir Berdamar) di Sidang DUN pada Selasa.

Dalam pada itu Shahrul menjelaskan, lampu limpah padang bola sepak di stadium itu disesuaikan mengikut peruntukan yang diluluskan dengan mengambil kira keadaan padang tersebut.

Ujarnya, berdasarkan fasiliti sedia ada dan saiz padang ia hanya sesuai untuk tujuan latihan dan perlawanan tempatan sahaja selain bagi tujuan rekreasi.