IPOH: Kawalan keselamatan yang mantap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sepanjang Sukan SEA 2017 (KL2017) baru-baru ini menjadi antara faktor yang mendorong kejayaan Malaysia menjadi juara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun pihak terbabit tidak menyumbang pingat secara langsung namun kesungguhan 25,000 anggota yang bertugas menjaga keselamatan di semua lokasi pertandingan memainkan peranan besar dan perlu diberi penghargaan.

“Atlet kita memprolehi 145 pingat emas, walaupun ianya bukan sumbangan langsung PDRM tetapi keselamatan dan kawalan yang ada di semua lokasi pertandingan telah memungkinkan pasukan Malaysia mencapai keputusan paling cemerlang.

Zahid-hamidi-briged

“Saya ucapkan tahniah kepada PDRM keseluruhanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, dan Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri serta beberapa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Malaysia menamatkan saingan KL2017 dengan merangkul 145 pingat emas melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 111.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan peribadi keseluruhan berjumlah RM30,000 kepada PERKEP PGA Briged Utara, 69 Komando PGK dan PLPGA.