KUALA LUMPUR : Polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di pekarangan pintu dua Istana Negara berikutan kehadiran penyokong parti politik yang memenuhi kawasan itu hari ini.

Jumlah kehadiran anggota keselamatan dilihat bertambah pagi ini, berbeza dengan semalam.

Ia berikutan lebih 200 penyokong PKR memenuhi sepanjang jalan memasuki pintu Istana Negara bagi memberikan sokongan kepada pemimpin mereka.

Polis membuat kawalan trafik dengan mengarahkan penyokong PKR berhimpun di kawasan yang dihadkan iaitu pada jarak kira-kira 50 meter dari pintu masuk, bagi mengelak bercampur dengan petugas media.

Tinjauan setakat jam 11 pagi ini, keadaan di pekarangan pintu masuk istana masih terkawal biarpun berlaku sedikit kesesakan di sepanjang laluan untuk memasuki pintu terbabit.

Sorakan penyokong PKR mula kedengaran sebaik sebuah bas membawa Ahli Parlimen mereka tiba di pintu masuk istana pada jam 10.40 pagi.