TANJUNG MALIM – Pelbagai agensi termasuk pihak keselamatan akan bekerjasama melakukan kawalan keselamatan terhadap kapal mewah Equanimity yang ketika ini sedang berlabuh di pelabuhan Klang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu diputuskan melalui satu mesyuarat khas yang dibuat bagi mengkoordinasi kawalan keselamatan kapal mewah itu dengan pihak terlibat semalam.

“Ini keputusan yang dibuat oleh kerajaan dan semalam saya juga ada berada di situ Tun (Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed) pun dah buat keputusan bahawa tidak dibenarkan mana-mana pihak untuk lawat masuk kapal itu.

“Sebab kapal ini adalah exhibit yang telah dirampas jadi kalau ada cacat cela sebagianya kalauada orang awam jadi ini akan jejaskan nilai atau menyusutkan nilai kapal berkenaan selain dari isu-isu keselamatan juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian sijil pelantikan pegawai kor Suksis Universiti awam Malaysia ke-14 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim pada Ahad.

Menurut beliau, antara pihak yang terlibat akan bekerjasama melakukan kawalan keselamatan adalah Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Hutan, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak Bousteadnaval Shipyard.

Tambah beliau, kawalan ketat akan dibuat dan diselaraskan secara 24 jam dengan 18 krew kapal bertugas di dalam kapal terbabit dalam sesuatu masa.

“Orang awam juga tidak akan dibenarkan masuk ke dalam kapal mewah terbabit kecuali pihak-pihak yang telah mendapat kelulusan mahkamah tinggi dengan iringan syerif mahkamah,” ujarnya.

Kapal mewah yang ketika ini sedang berlabuh di Perlabuhan Klang selepas dikembalikan semula oleh pihak berkuasa Indonesia itu dianggarkan bernilai RM1.02 bilion.