IPOH 23 April – Kerajaan negeri akan melaksanakan kawalan saiz perkhidmatan awam (KSPA) secara berfasa mulai tahun 2019 sehingga 2021 seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun tidak melibatkan penjawat awam sedia ada yang sedang berkhidmat iaitu sebanyak 13,390 orang.

Menurut beliau, ketika ini, sebanyak 5,643 orang sedang berkhidmat di jabatan negeri, pentadbiran tanah dan daerah (1,705 orang), pihak berkuasa tempatan (4,683 orang) dan badan berkanun negeri (1,359 orang).

“Dasar ini dilaksanakan melalui kaedah pemansuhan jawatan jumud, pemansuhan Jawatan Sementara Perubahan Skim (JSPS) dan jawatan yang tidak diisi melebihi tempoh dua tahun.

“Kaedah pelaksanaan KSPA ini termasuklah melalui penyusunan semula perjawatan bagi mengelakkan pertindihan fungsi, serah urus fungsi (outsourcing), penyampaian perkhidmatan alternatif (Alternative Service Delivery), penswastaan, pengasingan sepenuhnya badan berkanun, automasi dan pengisian jawatan baharu secara berhemah mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khairuddin Tarmizi (BN-Hutan Melintang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Khairuddin bertanyakan sama ada kerajaan negeri turut bercadang untuk mengurangkan saiz penjawat awam di peringkat negeri seperti dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE