Lumut: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di 7 Batu Nautika selatan Pulau Pangkor, di sini, Sabtu lalu, diperluaskan sehingga 30 Batu Nautika, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Khairolafni Ahmad Ghani, 31, dipercayai terjatuh di ketika dalam pelayaran ke Pulau Sembilan bersama lapan rakannya untuk memancing.

Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan pihaknya bersama agensi lain meneruskan SAR.

“Kita menerima maklumat daripada pesawat Maritim 45 dari unit udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan objek terapung di kawasan sektor carian.

“Dua aset digerakkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, di sini, hari ini.

Zulinda berkata, APMM turut mengerakkan beberapa aset tambahan dalam usaha membantu gerakan SAR namun keadaan laut yang bergelora serta cuaca tidak baik menyebabkan operasi ditangguhkan jam 7.30 malam tadi.

Operasi SAR memasuki hari keempat hari ini diteruskan jam 7 pagi tadi dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).