KUALA LUMPUR: Kawasan perindustrian menjadi lokasi pilihan warga asing untuk bekerja dan tinggal sepanjang berada di negara ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor Mohamad Shukri Nawi, berkata pihaknya menerima aduan dan rungutan daripada orang awam berhubung lambakan warga asing di sekitar Subang Jaya, Klang, Puchong dan Jenjarom yang juga adalah kawasan perindustrian.

“Bertindak atas aduan orang awam, kami melakukan Operasi Ikrar (Op Ikrar) kelmarin, bermula jam 5 petang hingga 1 pagi semalam dengan kekuatan 14 pegawai dan anggota JIM Selangor di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap 80 warga asing, seramai 46 daripada mereka berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun termasuk enam wanita ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

ANTARA warga asing yang ditahan dalam Op Ikrar dilakukan JIM Selangor, kelmarin.
Mohamad Shukri berkata, kebanyakan warga asing di lokasi berkenaan bekerja di premis makanan.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka terutama di negeri ini bagi membolehkan pemantauan dan pemeriksaan dilakukan.

“Tindakan itu penting bagi mengesan warga asing dan juga majikan atau pemilik premis yang melakukan kesalahan undang-undang,” katanya – berita harian