TELUK INTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan kawasan radius suntikan vaksin anjing dan kucing bagi mencegah penularan wabak rabies di Daerah Serian, Sarawak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia ekoran satu kes baharu yang dikesan di Kampung Ampungan, Serian.

Kes terbaharu itu menjadikan sehingga kini empat kes rabies dikesan di daerah berkenaan.

“Selain radius suntikan, kita akan menambah vaksin yang telah dihantar sebelum ini sebanyak 6,000 vaksin, sekiranya ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-38 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik / Labu Kubong di Dewan Parit 6, Chenderong Balai di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu Tajuddin turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan PPK Sungai Manik/Labu Kubong lebih RM91,000 oleh pengerusinya, Suib Sulaimen kepada wakil Majlid Agama Islam Perak (MAIPk).

Semalam Kementerian Kesihatan mengesahkan kes keempat rabies itu membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Saroban, terletak di luar 10 kilometer radius daripada kampung di mana kes ketiga rabies berlaku.

Pada 1 Julai lalu, KKM memaklumkan terdapat tiga kes rabies dari Serian yang disahkan melalui ujian makmal pada 30 Jun lalu.

Dua daripada mereka meninggal dunia manakala seorang lagi masih kritikal.