Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PASIR SALAK: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berasa kesal tindakan Tan Sri Kayveas meletakkan jawatan sebagai presiden parti myPPP.

Menurutnya beliau lihat tindakan Kayveas sebagai mengikut emosi semata-mata.

Katanya tindakan Kayveas juga membuktikan bahawa beliau telah lupa jasa dan penghargaan serta pengiktirafan yang diberikan oleh Barisan Nasional kepada diri serta ahli partinya.

“Saya berasa kesal, kalau benar Tan Sri Kayveas meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan bertindak untuk bertanding pula atas tiket lain, selain daripada tiket BN.

“Maksudnya, beliau sudah lupa tentang semua, lupa kepada jasa BN kepada beliau dan beliau membuat keputusan yang sudah tentu tidak memberi faedah kepada dirinya.

Ianya cuma untuk menimbulkan satu suasana yang tidak baik di kalangan masyarakat,”katanya kepada pemberita dalam sidang media ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Menu Tradisi Negeri Perak di Arena Square Kota Setia, dekat sini hari ini

Katanya lagi, menerusi beberapa program bersama masyarakat India termasuk ahli myPPP sebelum ini beliau yakin bahawa sokongan daripada mereka akan tetap utuh kepada Barisan Nasional di sebalik spekulasi kepada presiden parti mereka.

Tambah Tajuddin, tinjauan umum bersama jentera di peringkat akar umbi parti myPPP itu juga mendapati bahawa komitmen mereka masih teguh kepada BN dan tidak mempunyai masalah di sebalik pelbagai ura-ura mengenai presiden itu.

“Saya rasa Tan Sri Kayveas mungkin terlalu over confident, terlalu yakin yang dia boleh bertanding atas tiket independent atau pembangkang malah mendapat sokongan daripada masyarakat India, tapi sebenarnya dia tidak akan dapat sokongan, jadi kita tidak ada merasa ragu dan bimbang di atas sokongan warga India kepada BN,”ujarnya lagi.

Malah, Tajuddin juga mengingatkan bahawa sebagai seorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat Kayveas tidak perlu bersikap terdesak untuk menjadi seorang calon rakyat untuk memberikan perkhidmatan terbaiknya.

“Tidak seharusnya apabila di nak jadi calon Cameron Highland, bila tak dapat, lepas itu nak letak jawatan dan menentang kita…itu tidak rasional dan itu emosional.

“Kalau betul beliau nak menyumbang kepada perjuangan masyarakat India, tak semestinya menjadi wakil rakyat myPPP, beliau mempunyai kedudukan, kuasa dan pengaruh dan hubungan yang baik, macam-macam dia boleh buat untuk membantu dan membela masyarakat India dan ahli myPPP, tak ada masalah,”katanya lagi.

Tajuddun juga menegaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen bukanlah sesuatu yang perlu sekiranya beliau berhasrat untuk menjadi seorang menteri.

Kalau dia bersama dengan BN, memberi sokongan kepada BN saya rasa pucuk pimpinan akan menghargai beliau dan mendapatkan tempat, kedudukan di dalam kerajaan untuk membantu UMNO teruskan perjuangan.

“Kalau boleh saya ingin menyeru kepda Tan Sri…kembalilah kepada BN, mungkin satu kesilapan membuat kenyataan sebegitu, tapi tidak terlambat dalam tempoh beberapa hari ini, boleh buat keputusan untuk kembali,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAAN : Kayveas Letak Jawatan Berkuatkuasa Isnin