IPOH: Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) yang diusahakan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) menjual barangan keperluan harian dengan diskaun sehingga 20 peratus kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, selain diskaun yang diberi kerajaan negeri melalui YBU, terdapat juga diskaun yang diberi oleh wakil rakyat setempat.

Menurut beliau, selain KD1AJ, kerajaan negeri melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melaksanakan beberapa program lain seperti Anugerah Kedai Harga Patut, Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) dan MyFARM Outlet dengan tujuan peniaga dapat menawarkan harga yang berpatutan.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar serta pedalaman bagi memastikan mereka mendapat barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Samsudin berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan program Sahabat KPDNKK selaras dengan hasrat kementerian sebagai `caring ministry’ dan pengguna boleh menjadi mata dan telinga untuk memantau harga.

“Semoga melalui usaha-usaha ini, kerajaan berharap dapat membantu menangani masalah kesan kenaikan harga barangan secara tidak terkawal, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukanlah satu-satunya faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan, sebaliknya ia turut disebabkan oleh pelbagai lagi faktor.