LUMUT: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Ledang berjaya menyelamatkan empat nelayan mangsa bot karam yang berlindung di Pulau Jarak, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang Isnin.

Ketika kejadian, kapal tersebut sedang melaksanakan Operasi Pejarak apabila menerima maklumat daripada Pasukan Tentera Darat yang bertugas di pulau berkenaan bahawa bot yang dinaiki nelayan, dipercayai warga Indonesia, telah mengalami kerosakan di sekitar utara perairan Selat Melaka dan hanyut ke perairan Pulau Jarak.

Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, Pusat Operasi Markas telah mengarahkan KD Ledang untuk melaksanakan misi bantuan menyelamat mangsa bot karam tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, semua mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada CB90 untuk dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut.

Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kita jam 12.40 pagi tadi untuk tindakan lanjut.