PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam keras paparan di Facebook (FB) yang dimuat naik oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang bertindak mengubah gambar Yang di-Pertuan Agong.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbuatan itu menghina Raja dan melanggar undang-undang negara.

Beliau berkata, ia juga adalah satu perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat Malaysia serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat – Berita harian