Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan kegiatan pengeluaran surat sokongan palsu menggunakan kepala surat kementerian berkenaan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan KDN, surat sokongan palsu itu turut memaparkan tanda tangan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan).

“Surat palsu itu bertujuan mendapatkan sokongan menjalankan pusat hiburan keluarga di Melaka dan Sarawak.

“Ingin ditegaskan, kementerian ini tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada mana-mana individu atau pihak syarikat,” katanya, hari ini.

Berikutan itu, KDN meminta individu atau syarikat yang pernah menerima atau didatangi sesiapa memohon sokongan dengan membawa surat itu tampil menyalurkan maklumat kepada kementerian dan membuat laporan polis.