KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pegawai kanan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman oleh suruhanjaya terbabit, Khamis lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam siasatan memandangkan SPRM berhak untuk bertindak sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

“Ada beberapa kes sudah dilaporkan kepada saya oleh Ketua Polis Negara.

“Kalau ada membabitkan lain-lain agensi seperti SPRM dan sebagainya kita tidak akan campurtangan.

“Pihak agensi dan pihak berkuasa tertentu ada hak untuk bertindak kalau mereka ada bukti jadi kita akan berikan kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini hari ini.

Khamis lalu, dua pegawai kanan polis ditahan SPRM, dipercayai menerima rasuah untuk melindungi pusat judi.

Serbuan dijalankan di sebuah bengkel dan menemui wang tunai daripada dua suspek yang bertugas di Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, berjumlah RM1.5 juta.

Susulan penahanan itu, semalam SPRM turut merampas lima kenderaan mewah bernilai hampir RM3 juta dipercayai milik salah seorang pegawai kanan polis yang terbabit – berita harian