KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengurus penduduk Malaysia yang berdepan masalah kerakyatan, kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH) diadakan dan ia akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami sedang mengumpul maklumat mengenai isu berkenaan supaya kita dapat menguruskannya di peringkat kami dulu (Jabatan Pendaftaran Negara, JPN).

“Kemudian kami akan menyediakan laporan penuh berkaitan isu ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kebimbangan Lawyers for Liberty mengenai dasar diskriminasi JPN terhadap penduduk Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan yang menjadi amalan berlarutan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen dalam satu kenyataan berkata, kerajaan baharu PH nampaknya tidak mengakui seriusnya masalah penduduk tanpa kerakyatan dan hanya tertumpu kepada masalah itu yang membabitkan masyarakat India seperti dinyatakan dalam Janji 1Komitmen Khas untuk Masyarakat India – berita harian