IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menafikan dakwaan pembangkang kononnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri merosot sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih negeri ini pada Februari 2009.

Sebaliknya, Dr Zambry berkata, KDNK per kapita negeri telah melonjak kepada RM18,207 pada tahun 2010 atau 15.1 peratus berbanding 2009 dan angka ini terus melonjak kepada RM27,246 pada tahun 2016.

Malah, jelas beliau, KDNK 2016 negeri pada harga malar juga telah meningkat dari RM43,313 juta pada tahun 2010 kepada RM60,408 juta dengan kadar pertumbuhan tahunan di kompaun sebanyak 5.7%.

“Tidakkah ini bukti pencapaian dan kejayaan BN? Sudah tentu sebelah sana tidak berpuashati kerana angka-angka rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan tidak memihak kepada nafsu politik mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh 2010 hingga 2016, negeri Perak turut mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK di kompaun sama dengan Pulau Pinang (5.7%), malah lebih baik dari Malaysia (5.1%) serta sembilan negeri lain iaitu Melaka (5.4%), Kedah (5.2%), Kelantan (4.8%), Pahang (4.5%), Negeri Sembilan (4.3%), Sabah (4.1%), Terengganu (3.9%), Sarawak (3.8%) dan Perlis (3.7%).

Beliau berkata, pencapaian itu berjaya meletakkan Perak di tangga keempat daripada 13 negeri lain di seluruh negara.

kdnk-negeri 2

Dalam hujahan penggulungannya itu, Dr Zambry turut menyangkal dakwaan Datuk Ngeh Ko Ham (DAP-Sitiawan) bahawa selepas rampasan kuasa berlaku pada 6 Februari 2009, KDNK per kapita rakyat Perak menjunam mendadak kepada RM14,457 penurunan 1,142 atau 7.32%.

“Mendengar hujah Sitiawan ini, saya tidak tahu hendak menjawab dengan fakta ataupun hendak ketawa.

“Ini kerana angka-angka menunjukkan sebaliknya.Berdasarkan angka Jabatan Perangkaan KDNK per kapita Negeri Perak pada 2009 adalah RM15,809, bukannya RM14,457 seperti yang disebut Sitiawan.

“Memang ia jatuh daripada RM16,552 pada tahun 2008 iaitu penurunan sebanyak RM743 atau 4.48 peratus, bukan seperti angka yang Sitiawan sebutkan.

“Perlu diingat angka-angka 2008 ini adalah dalam tempoh Januari hingga Disember 2008. Tempoh sebelum dan selepas PRU-12 yang didakan pada Mei 2008. Jadi jika angka 2008 itu tinggi ia bukan hasil kerajaan pakatan yang dibentuk selepas PRU-12 semata-mata.

Tambah Dr Zambry, kejatuhan KDNK per kapita pada tahun 2009 turut dirasai oleh semua negeri, malah Pulau Pinang turut turun dari RM33,694 pada 2008 kepada RM30,098 pada 2009 iaitu penurunan sebanyak RM3,596 atau 10.67 peratus.

Di samping itu, kata beliau, negeri Selangor juga mengalami penurunan dari RM29,273 kepada 28,468, begitu juga purata nasional turun dari RM27,929 kepada RM25,385.

“Perkara ini terjadi akibat berlakunya kemelesetan dan krisis kewangan dunia. Ia sudah tentu memberi kesan kepada kita.

“Kalau hendak bercakap politik dan memberikan persepsi yang buruk, boleh sahaja saya katakan kejatuhan KDNK per kapita Negeri Perak pada tahun 2009 adalah hasil kegagalan kerajaan pakatan yang memerintah 11 bulan yang tidak dapat menjamin kestabilan politik dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.