TAIPING: Keadaan banjir sekitar negeri yang melanda tiga buah daerah di Taiping dan Manjung serta Hilir Perak kini menunjukkan tanda-tanda positif dengan paras air mulai surut sejak petang Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Larut Matang dan Selama, Kapt (PA) Faizulhalimi Mohd Yunus ketika dihubungi Astro Awani berkata situasi banjir di kawasan Taiping juga mula terkawal dengan rata-rata penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan kini dibenarkan balik.

Menurutnya, mangsa banjir di seluruh negeri Perak kini telah menurun kepada 178 mangsa di sekitar empat pusat pemindahan berbanding dengan 284 mangsa pada petang Ahad.

“Sehingga hari ini, dua pusat pemindahan yang ditutup adalah di daerah Taiping iaitu Masjid Nurul Hidayah Kampung Bemban dan surau Kampung Jawa pada jam 8 semalam (Ahad), dan kami menjangkakan akan menutup lagi beberapa pusat pemindahan pada hari ini.

Keadaan Banjir Surut

“Setakat ini, kami belum memberi kata putus 100 peratus untuk mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing namun ada petanda positif cuaca hari ini cerah dan pusat pemindahan untuk ditutup,”katanya ketika dihubungi.

Buat masa ini, Faizulhalimi berkata Sekolah Kebangsaan Temerlok,Trong dekat sini menempatkan seramai 12 keluarga melibatkan 28 mangsa banjir secara keseluruhannya.

Jelasnya, jumlah mangsa di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar yang dibuka pada petang Ahad kini juga berkurangan sehingga 26 mangsa.

Selain itu, Faizulhalimi berkata dua lagi daerah terjejas adalah di Manjung di mana 48 mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis sehingga pagi Isnin.

“66 mangsa turut dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan melibatkan 16 keluarga.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat lokasi ini berjumlah 178 mangsa membabitkan 48 keluarga dan kami akan pantau keadaan terkini dan hanya membenarkan mereka balik sekiranya paras air selamat dan keadaan terkawal,”ujarnya lagi.

1/2