IPOH: Keadaan kartunis terkenal Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke Hospital Pantai Puteri di sini semalam.

Isterinya, Datin Faezah Ahmad Zanzali ketika ditemui hari ini berkata, suaminya kini perlu menjalani pelbagai ujian dan dinasihatkan agar berehat oleh doktor.

“Suami boleh bercakap, berjalan pun boleh dan melakukan perkara lain sendiri.

“Dia sekarang sedang buat ujian dan doktor nasihatkan agar dia banyak berehat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebenarnya Lat hanya ditempatkan sementara di Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam kerana ketiadaan wad biasa.

“Pada mulanya memang suami saya ditumpangkan di wad ICU kerana wad biasa penuh, namun dia kini sudah ditempatkan di wad biasa,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut melawat Lat di hospital sejurus mendapat berita mengenainya pagi semalam.

Dr Zambry meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertanyakan khabar kartunis kelahiran Perak itu.

Sementara itu, anak sulung kartunis berkenaan, Junaidah, 33, memaklumkan buat masa ini hanya ahli keluarga dan kenalan terdekat saja yang dibenarkan melawat.