IPOH: Keadilah Perak melahirkan rasa sedih dan hiba dengan keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang diPertuan Agong, berkuatkuasa Ahad.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, baginda terkenal dengan sifat mesra rakyat dan raja berjiwa rakyat.

Menurut beliau, baginda juga merupakan raja yang peramah, tidak mementingkan kebesaran, dant tdak pernah membezakan dirinya dengan rakyat jelata.

“Patik sekalian seluruh rakyat Malaysia merasa sungguh hiba dan sedih di atas keputusan Tuanku untuk meletakkan jawatan sebelum tempoh yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Farhash Wafa Salvador berkata, kebelakangan ini, institusi yang sepatutnya dihormati berhadapan cabaran.

Menurutnya, wujud pihak dan individu tertentu yang cuba mewujudkan persepsi negatif mengenai institusi diraja yang disebarkan melalui media sosial.

Namun, ujarnya, Sultan Muhammad V tidak pernah menyuarakan kemurkaan kepada rakyat Malaysia.

“Patik sekalian akan sentiasa mengingati titah baginda ketika sesi pembukaan dewan di mana semua ahli parlimen diminta duduk dan jangan lari sebagai gurauan bagi meredakan situasi yang tegang selepas PRU ke-14.

“Patik menjunjung kasih Tuanku di atas keputusan untuk mempercepatkan proses pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membebaskan beliau serta merta di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan selepas pilihanraya.

“Inilah sifat Tuanku yang harus diteladani semua pemimpin supaya tidak melengahkan sesuatu yang baik hanya kerana secara zahiriahnya boleh wujud fitnah,” katanya.