IPOH: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Perak menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tidak timbul soal kerajaan negeri tidak stabil atau mahu menukar Menteri Besar seperti yang digembar-gemburkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad baru-baru ini.

Naib Pengerusi Keadilan Perak, Tan Kar Hing berkata, cerita-cerita itu hanya spekulasi bermusim yang ditimbulkan pembangkang setiap kali menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Sehubungan itu, pembangkang diminta menghentikan segala spekulasi itu kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Saya minta dia hentikan segala spekulasi untuk kebaikan semua, kalau tidak selalunya beliau lontarkan idea ini itulah kita akan hadapi masalah.

“Kita harus setiap kali kena jelaskan kerajaan ini stabil, tak ada apa-apa yang berlaku.

“Ini cukup dah bagi saya sudah cukup lah, jangan lagi mengelirukan rakyat, jangan lagi mengelirukan pelabur yang hendak membangunkan negeri Perak ini,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di sini pada Isnin.

Kar Hing berkata, sebagai seorang yang telah diiktiraf sebagai ketua pembangkang, Saarani haruslah menjalankan tugas sebaik-baiknya.

“Kita menghormati sepenuh beliau untuk menjalankan tugas sebagai ‘check and balance’ bagi pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak,” ujarnya.

Selain Kar Hing yang juga Exco kerajaan negeri, Keadilan Perak mempunyai tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu
ADUN Kuala Kurau, Yunus Jamhari yang juga Exco kerajaan negeri, ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

Sidang DUN Perak dijadualkan bermula 16 April depan, yang ketiga selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan.