IPOH – Sebarang pemohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Negeri Perak (PPBM) adalah tertakluk kepada keputusan dan persetujuan pimpinan tertinggi parti itu, kata YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, ini sejajar dengan dasar PPBM di mana segala permohonan untuk menjadi ahli parti itu akan diproses dan ditentukan oleh majlis pimpinan tertinggi parti dan sebarang keputusan akan dirujuk kepada pucuk pimpinan sebelum dimuktamadkan bukannya diputuskan di peringkat negeri.

“Saya tidak bercakap mengenai Noor Azmi sahaja tetapi bagi PPBM Perak, jika sesiapa yang memohon untuk menjadi ahli, kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan untuk terima atau tolak,” katanya mengulas tindakan keluar UMNO dan Barisan Nasional oleh Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali awal hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media dalam satu sidang akhbar pada Majlis Tambun Berhari Raya Bersama Pemimpin Pakatan Harapan di Tanjung Rambutan dekat sini, petang tadi.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan Negeri Perak diminta mengulas mengenai bayangan yang diberikan Noor Azmi untuk menyertai PPBM selepas tindakan keluar UMNO.

“Saya juga tak pasti dia ingin menyertai parti mana tetapi PPBM Perak sekiranya ada permohonan oleh sesiapa yang ingin memohon menjadi ahli kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyerahkan kepada PH Perak untuk menentukan sama ada menerima Noor Azmi menyertai mereka.

Jelas Ahmad Faizal, PPBM Perak menghargai sokongan yang dizahirkan Noor Azmi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepadanya namun mengakui tidak pernah berhubung dengan Ahli Parlimen Bagan Serai itu.

Noor Azmi kini menjadi wakil rakyat bebas dan mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan termasuk Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

“Sokongan itu saya nyatakan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih tetapi saya mengakui tidak pernah berhubung dengan beliau malah tidak tahu mengenai keputusan yang dibuatnya itu, mungkin keputusan sendiri, tambah beliau.