ALOR SETAR – Kebakaran di Gunung Baling yang hampir dipadamkan sepenuhnya kembali marak pada pukul 1 pagi tadi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd. Jamil Mat Daud.
Beliau berkata, kebakaran berlaku di kawasan yang telah berjaya dipadamkan sebelum ini dan ia berkemungkinan akan merebak ke kawasan baharu.

“Kita mengesan api hidup semula sekitar pukul 1 pagi tadi. Operasi pagi ini bermula pukul 8 pagi di mana kita telah menghantar dua pasukan pemadam yang terdiri daripada 15 anggota bomba ke kawasan kebakaran.

“Cuma keadaan muka bumi di kawasan yang terbakar bercerun dan mengambil masa satu jam setengah untuk mendaki kawasan tersebut dan itu melambatkan tindakan untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dhubungi Bernama, hari ini.

Punca kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak 6 Februari lepas itu masih belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. – BERNAMA