KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam insiden kebakaran di stor Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) hospital itu hari ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Pengarah HKL Datin Dr Nor Akma Yusuf berkata pengungsian atau evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan telah dijalankan mengikut prosedur.

Menurutnya perkhidmatan di HKL juga tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.

“Punca kebakaran dan kerosakan masih dalam siasatan pihak berwajib dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu…..