KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia yang terlibat di dalam kebakaran di sebuah hospital di Korea Selatan yang mengorbankan nyawa 37 mangsa menurut Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata ini berdasarkan maklumat diterima daripada pihak berkuasa tempatan di sana menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul.

“Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat di dalam insiden itu setakat ini,” katanya.

Pihak kedutaan di sana boleh dihubungi menerusi e-mel mwseoul@kln.gov.my atau di talian +82-2-2077 8600 / +8210 8974 8699.

Selain daripada mereka yang terkorban, lebih daripada 130 mangsa dilaporkan cedera dalam kebakaran pada Jumaat di Hospital Sejong di bandar Miryang, tenggara Korea Selatan.- Bernama