PANTAI REMIS: Kebakaran hutan yang berlaku hampir lebih se18 jam di Bukit Teluk Sera, dekat sini akhirnya berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis pada petang Jumaat.

 

Ketua Operasinya,Pegawai Bomba Kanan I Alwi Ismail berkata kebakaran itu turut membawa kemusnahan kepada kawasan seluas 10 ekar di Hutan Simpan Segari Melintang, Bukit Tanjung Batu.

 

Jelasnya, kebakaran tersebut dipercayai bermula sejak pukul lapan semalam dan berlaku di kawasan berbukit dengan ketinggian insiden kejadian dianggarkan mencecah 200 meter.

“Berikutan tiupan angin kencang, kebakaran sukar dikawal pada mulanya dan mulai merebak hingga ke kawasan jeram bukit, manakala jarak lokasi kejadian daripada jalan besar dianggarkan sejaruh lima kilometer.

“Seramai lapan orang anggota telah masuk ke lokasi kejadian pada semalam (Khamis) dan melaksanakan pemadaman menggunakan “jet-shooter” dan “fire-beater”,”katanya kepada pemberita.

Menurut Alwi, operasi tersebut diteruskan pada pagi Jumaat dengan keanggotaan seramai 10 orang yang dipecahkan kepada tiga kumpulan di mana kesemua mereka memasuki kawasan kebakaran dari tiga lokasi berasingan.

“Kebakaran akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada tengahari tadi sekitar 12.45 tengahari tadi,”katanya lagi.