SUNGAI SIPUT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran di Hutan Simpan Gunung Korbu yang terletak antara Pos Legap dan Pos Kuala Mu dekar sini, yang mula dikesan pagi Selasa.

Teknik `water bombing’ atau bom air digunakan dengan bantuan helikopter dari Unit Udara JBPM kerana kawasan kebakaran jauh di dalam hutan dan ketinggiannya kira-kira 1,500 kaki dari paras laut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamad Yunus Abu berkata, operasi pemadaman disambung semula kira-kira jam 9.30 pagi Rabu.

Menurutnya, sebuah tangki takungan air atau `helli well’ berkapasiti 52,000 liter dibina di padang Kampung Santeh yang mengambil sumber air dari sungai berhampiran.

“Setakat ini, api yang merebak terkawal, jadi saya harap masyarakat setempat tidak perlu bimbang, insya Allah kita akan berusaha untuk memadamkan kebakaran yang berlaku.

“Berdasarkan pemantauan kita pada semalam, apa yang boleh saya jelaskan ialah kemungkinan perkara ini adalah daripada aktiviti masyarakat setempat ataupun faktor-faktor yang lain,” katanya kepada Suara Perak.

Mohamad Yunus menasihatkan orang ramai, khususnya masyarakat di perkampungan Orang Asli supaya mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka kerana keadaan cuaca yang panas.

Beliau menjangkakan operasi pemadaman dijangka memakan masa beberapa hari dan pemantauan akan terus dilakukan sehingga keadaan benar-benar selamat.

Bagi tujuan itu, kata beliau, pihaknya sedang merangka untuk menggunakan jalan darat  ke tempat kebakaran.

Sementara itu, tinjuan Suara Perak mendapati terdapat kepulan asap di kawasan kebakaran yang dianggarkan kira-kira 10 hektar itu.