IPOH: Wad 5B yang terletak di tingkat 5 Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dikosongkan berikutan kebakaran kecil, dipercayai berpunca daripada percikan api dari salah sebuah panel katil pesakit.

 Ekoran daripada itu, 47 pesakit dalam wad berkenaan terpaksa dipindahkan ke wad-wad berhampiran.

 Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ipoh, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 1.17 pagi sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

 Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku kebakaran kecil membabitkan panel katil pesakit dan kebakaran berjaya dipadamkan kakitangan bertugas menggunakan pemadam api.

Kebakaran Kecil HRPB
Kebakaran Kecil HRPB
Kebakaran Kecil HRPB
Kebakaran Kecil HRPB

 “Hasil siasatan awal anggota bomba mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik dan kebocoran saluran oksigen di bahagian kepala katil pesakit.

“Bagaimanapun ia hanya mengakibatkan lima peratus daripada jumlah kubikel katil dan tidak membabitkan sebarang kerosakan pada struktur bangunan serta kecederaan pada pesakit,” katanya.

 Beliau memberitahu, anggota bomba yang bertugas di lokasi kejadian turut membuat pemantauan bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya.