KUALA LUMPUR : Malaysia perlu memberi pendirian dan kritikan yang jelas terhadap sebarang isu global biarpun ada kalanya ia memberi kesan terhadap negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata dalam isu boikot minyak sawit Malaysia oleh India contohnya, kerajaan akui bimbang jika tindakan sedemikian dibuat oleh kerajaan India.

Bagaimanapun beliau berkata, adalah penting untuk memberi kritikan dan berkata benar terutama terhadap isu dan perkara yang dianggap salah serta memberi kesan terhadap orang ramai.

“Tentu sekali kita bimbang kerana kita menjual banyak minyak sawit ke India. Sebaliknya, kita perlu juga berterus terang dan mengatakan bila sesuatu yang dilakukan itu salah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel khas sempena Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut sama hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dr Mahathir berkata, jika semua pihak membenarkan perkara salah dilakukan dan hanya memikirkan soal wang, maka banyak perkara salah akan terus berlaku.

Perdana Menteri sebelum ini mengkritik tindakan kerajaan India dalam isu Kashmir serta kelulusan undang-undang kontroversi berkaitan kerakyatan di negara itu yang dianggapnya tidak adil dan malang.

Kritikan itu dikatakan mencetuskan reaksi balas kerajaan India untuk mengkaji semula pembelian minyak sawit Malaysia, malah ada dakwaan negara itu mahu memboikotnya.

Menyentuh isu sekatan perdagangan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran termasuk konflik terbaharu antara dua negara itu, Dr Mahathir berkata, ia ternyata memberi kesan terhadap Malaysia.

Beliau berkata, sekatan terhadap Iran menyebabkan Malaysia dan beberapa lagi negara kehilangan pasaran yang besar.

“Saya tidak mempercayai sekatan, jika kamu memohon sekatan, kamu menyakiti rakyat. Seperti Iran, jika kamu meletakkan sekatan terhadap Iran, Malaysia juga mengalami kerugian kerana kami kehilangan pasaran kami.

“Jadi mereka (Iran dan AS) perlu membawa (konflik ke meja) rundingan, bukan hanya berjuang untuk kepentingan sendiri,” katanya.