Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan memantau lebih 100 bazar Ramadan di seluruh negeri bagi memastikan kualiti dan kebersihan makanan dan minuman berada pada tahap terbaik.

Pengarahnya, Datuk Dr Hassan Merican Omar Naina Merican berkata, pemantauan secara berterusan dijalankan menerusi Ops Ramadan dalam menjamin penyediaan makanan dan bahan yang menepati piawaian.

Jelasnya, langkah itu penting bagi mengelakkan peniaga leka dan memandang remeh soal penjualan makanan sihat dan bersih di bulan Ramadan ini.

“Antara perkara yang sering kita tekankan kepada peniaga adalah pemakaian topi dan apron berwarna cerah, serta memastikan kuku pendek dan penjagaan premis atau tapak gerai.

“Orang awam dinasihatkan untuk mengamal proses Hidu dan Rasa, dan pilih gerai yang bersih berdasarkan penelitian awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ops Ramadan di tapak Bazar Ramadan Kampar di sini pada petang Selasa.

Dr Hassan berkata, pihaknya turut mengambil sampel bagi menguji tahap kebersihan makanan berisiko tinggi seperti makanan mentah, tinggi kandungan protein dan bersantan.

Beliau berkata, setakat hari keempat Ramadan, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berat mengenai penyediaan makanan di premis jualan di seluruh negeri.

“Ops Ramadan ini bukan diadakan untuk bazar sahaja tetapi turut melibatkan hotel, restoran dan premis makanan serta pasaraya dan pasar basah,” katanya.

Menurut Dr Hassan, peniaga yang didapati melakukan kesalahan kecil akan ditegur dan jika ada yang perlu dikompaun, tindakan akan diambil mengikut peraturan yang sepatutnya.

Sehingga tahun 2016, sebanyak 4,817 premis khususnya gerai dan bazar Ramadan telah diperiksa namun belum ada yang menerima notis kompaun atau penutupan.