KUALA LUMPUR : Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, tetapi kenyataannya itu dibuat di tengah-tengah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang hangat diperkatakan sehingga membawa kepada bantahan pelbagai pihak.

“Kita melihat kemelut kebiadaban yang tidak putus-putus.

“Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti.

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini,” katanya dalam hantaran beliau di Facebook malam semalam.

Kenyataannya itu dibuat selepas berlangsungnya Kongres Kebangsaan Jawi yang dianjurkan oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), petang semalam.

Kongres itu antaranya menggesa agar pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Jumaat lalu, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres yang dianjurkan oleh Dong Jiao Zong yang sepatutnya diadakan pada 28 Disember.

Kongres yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang itu bertujuan bagi membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Mohd Asri sebelum ini mahu masyarakat di negara ini digembleng untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pada 17 Ogos, beliau juga mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen atas talian yang dilancarkan oleh pemuda Bersatu, untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.