SLIM RIVER: Kebocoran bahan kimia dikesan membabitkan sebuah lori tangki yang membawa muatan 35,000 kilogram (kg) asid hidroklorik di Kilometer 361 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran bahan kimia terbabit pada jam 7.43 malam tadi dan sehingga jam 11.30 malam operasi menangani insiden itu masih dijalankan.

Menurutnya, operasi dijalankan BBP Slim River dengan bantuan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Pasukan Khas Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNe) negeri.

“Kejadian membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan asid hidroklorik (UN1789) yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dan dilaporkan mengalami kebocoran pada bahagian injap.

“Lori berkenaan kemudian berhenti di tepi jalan selepas pemandunya menyedari kebocoran berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, lori berkenaan membawa muatan 35,000 kg bahan asid dan kerja memindahkan bahan terbabit ke dua lori lain sedang giat dijalankan.

“Kerja pemindahan bahan asid itu dilakukan dengan pemantauan pasukan HAZMAT dan CBRNe negeri.

“Operasi diketuai oleh Ketua Operasi BBP Slim River, Yusli Abd Latif dan pegawai kanan bomba yang turut hadir adalah Pegawai Pasukan HAZMAT dan CBRNe negeri, Nasuha Fahd,” katanya – berita harian