KATI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan mengawal dan membersihkan kebocoran minyak yang berlaku di Stesen Jana Elektrik Sultan Azlan Shah, di Gerik, Perak.

 

Kejadian pada Sabtu lalu didapati berpunca daripada kebocoran salah satu sistem hidrolik di stesen berkenaan.

 

Pengurus Besar Stesen-Stesen Jana Elektrik Sungai Perak, Mazlan Mohd Som berkata, mereka mengambil masa dua hari untuk mengenalpasti bahagian yang bocor sebelum bertindak memberhentikan sistem tersebut.

 

Menurut beliau, kerja-kerja pembersihan tompokan minyak di sepanjang lima kilometer Sungai Perak, termasuk kawasan tebatan Batu 6, Bersia juga dijalankan menggunakan perangkap minyak (oil boom) dan bahan larut minyak.

 

“Bila dah tahu ada kebocoran, kami gerakkan pasukan, kita pasang oil boom (perangkap minyak) untuk mengelakkan further contemination kalau ada dan juga kita spray oil dispersion di sepanjang sungai.

 

“Ia bukannya kebocoran yang besar dan kita macam nampak tompohak-tompokan kawasan yang ada bekas-bekas minyak,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian sistem amaran awal banjir di Kampung Chegar Galah, dekat Kuala Kangsar pada Khamis.

 

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Terdahulu, dalam kenyataan rasmi TNB hari ini memberitahu, kerja-kerja pembersihan sungai masih berjalan mengikut prosedur pelan tindakan kecemasan syarikat.

 

Di samping itu, perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi negeri yang berkaitan.

 

Insiden itu menjadi tular di dalam laman sosial yang mendakwa kononnya pihak TNB cuba merahsiakannya daripada orang ramai.