Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Anggota polis di Perak sewajarnya mengambil serius tahap kesihatan mereka agar ianya tidak menjejaskan peluang kenaikan pangkat masing-masing.

Tahap kecergasan, merupakan salah satu kriteria wajib yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk untuk proses kenaikan pangkat.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihak PDRM kini sedang melaksanakan pemantauan ketat serta soal selidik terhadap tahap kecergasan anggota untuk memastikan kualiti perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Buat masa ini, kami akan merekodkan bilangan pegawai dan anggota yang tidak begitu cergas dan menggesa mereka untuk melihat semula tahap kesihatan dan kecergasan masing-masing.

“Tiada sebarang peratusan mengenai anggota dan pegawai yang termasuk di dalam kategori ini, namun soal selidik itu akan mendedahkan maklumat sebenar mengenai tahap kerjasama mereka,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan PDRM Perak pada Rabu.

Tegasnya, sebagai seorang anggota polis mereka harus memastikan ketrampilan dan imej di khalayak ramai agar menjamin keyakinan di kalangan masyarakat setempat.

Kontinjen polis di seluruh negara kini sedang mempersiapkan diri untuk Program Trim and Fit yang akan berkuatkuasa bermula pada tahun hadapan.

Bagi negeri Perak, Hasnan berkata setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan menganjurkan sesi senaman khusus yang akan dikendalikan oleh jurulatih peribadi pada setiap hari Jumaat untuk kesemua pegawai.

“Tindakan ini akan memberikan mereka motivasi untuk menjadikan senaman sebagai gaya hidup mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hasnan berkata polis Perak juga komited untuk memberikan sokongan dalam teknologi hijau selaras dengan kempen PDRM Go Green yang dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Jelas beliau, polis Perak akan mula menyertai ‘Earth Hour” di mana balai polis di seluruh negeri akan mematikan lampu bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam pada 25 March.

“Kita ingin meningkatkan kesedaran mengenai pemanasan global dan keperluan untuk masyarakat yang rendah penggunaan karbon,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan di setiap balai polis tidak akan terjejas dalam tempoh sejam Earth Hour bersama PDRM itu.