BAGAN SERAI – Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO dan mengistiharkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Noor Azmi berkata keputusan itu dibuat berdasarkan perasaan kecewa terhadap tampuk pimpinan UMNO bahagiannya yang selama ini cuba menjatuhkan serta tidak menerima beliau sebagai wakil rakyat.

“Saya cuba bertanding dalam kepimpinan UMNO tetapi telah ditipu oleh Ketua UMNO Bahagian dan dalam perjalanan lima tahun saya ini memang tidak diterima oleh UMNO dalam menjelang PRU-14.

“Usaha yang bersungguh-sungguh dibuat untuk saya digugurkan daripada menjadi calon Parlimen Bagan Serai, itu diberitahu dari pihak atas (pucuk pimpinan),” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Ahad.

Menurut beliau keputusan tersebut juga dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat khususnya di Bagan Serai yang telah mengundinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Tambahnya setakat ini beliau mengambil keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas dan tidak menolak kemungkinan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam masa terdekat.

“Tidak mudah untuk saya membuat kenyataan dan membuat keputusan ini, setelah saya fikirkan sedalam-dalamnya keputusan ini diambil dengan mengambil kira kepentingan rakyat yang saya wakili dan demi kepentingan agama bangsa dan negara.

“Keputusan ini amat penting bagi kesinambungan segala tugasan dan khidmat saya untuk rakyat Bagan Serai, Saya juga berharap supaya keputusan saya ini difahami dan diterima rakyat dan pengundi Bagan Serai,”

Noor Azmi merupakan Ahli Parlimen pertama dari UMNO yang meninggal parti tersebut selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu.