IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu meluahkan rasa marah kerana banyak berlaku pembalakan haram berhampiran Empangan Temengor di Gerik.

Beliau kecewa selepas melihat sendiri aktiviti pembalakan haram itu, semasa dalam perjalanan melakukan lawatan mengejut ke Pos Kemar, semalam.

Menurut Ahmad Faizal, perjalanan beliau mengambil masa kira-kira satu setengah jam, dengan menaiki bot kecil yang disewanya sendiri daripada Orang Asli.

“Dalam perjalanan itu, saya ditunjukkan kawasan pembalakan yang sedang dibuat yang begitu berdekatan dengan empangan, kita boleh nampak.

“Ini tentunya adalah pembalakan haram kerana kita tahu yang jabatan perhutanan tidak akan meluluskan buffer zon kepada empangan iaitu lima kilometer daripada empangan, tak boleh ada sebarang pembalakan, tapi ini kita nampak cukup jelas dan saya nampak ada juga kawasan baru,” katanya kepada pemberita selepas wawancara di Perak FM di sini, hari ini.

Menteri Besar berkata, beliau akan berhubung dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk memastikan pemantauan dan tindakan segera dapat diambil untuk menahan orang-orang yang tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan.

Beliau tidak mahu kejadian yang berlaku di Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands yang menjadi cetek akibat timbunan pasir, berlaku di Empangan Temengor kerana ia menimbulkan masalah lain.

Ahmad Faizal berkata, beliau turut melihat sendiri Sungai Kenyir yang dahulunya penuh air, sekarang penuh dengan kelodak, pasir dan lumpur.

“Ini perkara-perkara yang perlu kita ambil perhatian segeralah, mungkin kerana kedudukannya yang jauh di pedalaman, saya fikir ramai orang tak pergi, menyebabkan tindakan serius tidak diambil, mungkin terlepas pandang juga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau gembira melihat anak-anak Orang Asli di Pos Kemar yang sentiasa aktif dan ceria, berbeza dengan di tempat-tempat lain.