IPOH – Akibat perselisihan faham dan berkecil hati kerana cucunya enggan mengikuti satu perkhemahan, seorang datuk berusia 59 tahun ditemui mati di rumahnya setelah menggantung diri di jeriji tingkap dengan tali terjerut di leher di Taman Mujur, Bercham, tengah hari semalam.

Mangsa yang ditemui oleh anaknya yang berumur 32 tahun pada pukul 12 tengah hari itu pulang ke rumahnya sejak 17 Mei lalu. Mangsa sebelum ini menetap bersama anak, menantu dan cucunya di Pengkalan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata siasatan awal mendapati mangsa telah tergantung di jeriji tingkap dengan tali terjerut di leher.

“Pemeriksaan di sekeliling tempat kejadian tidak menjumpai apa-apa senjata atau objek yang boleh disabitkan dengan apa apa jenayah, hanya terdapat tali yang menjerut lehernya disyaki untuk mangsa membunuh diri.

“Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa didapati tiada kesan kecederaan. Jiran mereka tidak nampak atau mendengar sebarang kekecohan atau bising di tempat mangsa dijumpai.

“Mayat simati telah dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tekanan di leher kerana tergantung,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Mohd Ali berkata menurut keterangan anak mangsa, sebelum mangsa keluar dari rumah anaknya di Pengkalan, berlaku pertengkaran antara mangsa dan menantunya.

Mangsa telah membawa balik satu borang untuk pergi perkhemahan untuk cucunya tetapi cucunya enggan pergi menyebabkan mangsa berkecil hati.

Menantu mangsa telah bertindak memarahi beliau kerana menyuruh cucunya mengikuti perkhemahan tersebut.

Selepas kejadian itu, mangsa terus berkemas dan pulang ke rumahnya.

Pada hari kejadian, menurut menantu mangsa, beliau telah pergi ke rumah tersebut untuk memujuk mangsa untuk balik ke rumah.

“Mangsa tidak mempunyai tekanan perasaan dan tidak mempunyai apa-apa penyakit malah tidak memberitahu apa apa masalah pada anaknya serta menantu.

“Menurut menantu, mangsa tidak mempunyai hutang dan tidak pasti sama ada mangsa mempunyai hutang atau tidak dengan org lain

dan mangsa tinggal seorang diri selama tiga hari di rumah tersebut.

“Kali terakhir mereka berjumpa dengan mangsa adalah pada 17 Mei pada pukul 2 petang,” tambah beliau.