BATU GAJAH: Sekitar 20 individu tidak dikenali telah bertindak liar dan mencetuskan suasana tegang setelah mereka gagal memasuki di satu kawasan tanah milik di hadapan Bandar Tasik Amanjaya, dekat sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 10.21 pagi semalam, kumpulan individu berkenaan juga bertindak ganas apabila dinafikan kebenaran memasuki tanah tersebut oleh polis bantuan yang menjaga kawasan itu.

Menurut seorang pegawai polis bantuan Muhammad Fadzli Mohd Junid, ketika kekecohan itu berlaku, salah seorang daripada mereka turut bertindak cuba merempuh pagar kawasan tersebut mengunakan kenderaan.

“Mereka mendesak kami untuk membenarkan mereka melalui pos pengawal, kami memaklumkan mereka notis telah diberikan bahawa hanya individu yang dimaklumkan secara bertulis atau syarikat-syarikat berkaitan yang terlibat sahaja dibenarkan masuk, itu pun tanpa sebarang kenderaan dan perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu.

“Namun tidak lama selepas itu, seorang lelaki telah datang dengan membawa sebatang pemotong besi dan terus memotong mangga besi di pagar itu, dia bersama rakan juga cuba merempuh masuk dengan kenderaan mereka namun berjaya dihalang,” katanya kepada Suara Perak ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah beliau, kekecohan itu berlarutan selama beberapa jam sebelum kumpulan itu beredar meninggalkan kawasan berkenaan dengan sendiri.

“Salah seorang daripada mereka itu sebenarnya telah dimaklumkan berkenaan notis itu dan sangat tahu tentang perkara ini, namun masih berdegil serta mengambil tindakan keras terhadap kami,” ujarnya.

Susulan daripada tindakan ganas serta liar itu, tuan tanah Perbadanan Menteri Besar telah membuat laporan polis berhubung kerosakan harta miliknya serta kekerasan fizikal yang berlaku kepada kakitanganya.