IPOH: Kegiatan mencuri kabel telekomunikasi yang berleluasa di Perak merupakan antara punca isyarat telefon dan internet di negeri ini agak lemah.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu juga membuatkan beberapa kawasan langsung tidak mempunyai sebarang isyarat telefon atau internet.

“Tindakan khianat ini sudah pastinya merugikan orang ramai, sekarang segalanya dunia internet, tetapi ianya terjejas sama sekali dan sesetengah jadi perlahan, malah ada yang langsung tidak ada internet.

“Kita telah melakukan segalanya untuk memastikan kadar penembusan jalur lebar di negeri ini tinggi, termasuk isyarat telefon tetapi terdapat pihak tak bertanggungjawab mengkhianati orang ramai,” katanya beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh pada Rabu.

Justeru itu, Dr Zambry memberitahu kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan secara serius dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, bagi membendung kejadian tidak bertanggungjawab tersebut daripada terus berleluasa.

“Saya timbulkan perkara ini kerana masalah kecurian kabel di Perak agak serius kerana pada tahun lalu sahaja terdapat 1,359 kes telah dicatatkan di mana paling banyak adalah di Manjung iaitu sebanyak 886 kes, ini angka besar.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket yang melakukan kerja-kerja, tapi kita tak boleh berkompromi dengan tindakan ini kerana ianya menimbulkan kesusahan orang ramai dan satu pengkhianatan,” tegas beliau.