TUMPUAN penuh diberikan oleh Tan Cheng Hoe pada suku akhir pertama Piala FA 2017 menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.

Perkara itu ditekankan oleh Ketua Jurulatih Kedah itu selepas tidak mahu pasukannya senasib dengan Kelantan dan Kuantan FA yang tersungkur pada pusingan kedua dan ketiga di tangan kelab yang baharu sahaja berusia dua tahun.

Dihimpit dengan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kem kebangsaan bagi membantu pengendali baharu Mario Gomez, Cheng Hoe lebih suka bercakap tentang persiapan Hijau Kuning untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Ipoh pada 21 April ini.

Menurutnya, beliau tidak memandang rendah keupayaan PKNP yang baru menyertai Liga Malaysia pada musim 2015 itu kerana mempunyai kekuatan tersendiri untuk mara ke kelompok lapan pasukan terbaik Piala FA musim ini.

“Walaupun ramai melihat Kedah sebagai pasukan pilihan untuk mara ke peringkat separuh akhir namun bagi saya tidak kerana PKNP mampu mengejutkan kami sekiranya tidak bersedia sepenuhnya.

Mereka dibarisi hampir semua pemain muda dan bersemangat tinggi. Sudah tentu PKNP akan terus cuba melakarkan kejutan demi kejutan pada kejohanan Piala FA kali ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas Cheng Hoe, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk memburu bekalan selesa sebelum berkunjung ke Stadium Perak.

“Pemain tidak boleh mempunyai rasa selesa langsung walaupun berhadapan dengan sebuah kelab yang masih baru dalam Liga Malaysia.

Baki beberapa hari yang ada akan digunakan sebaik mungkin oleh kami untuk membentuk persefahaman dan kepulangan pemain-pemain utama dari kem kebangsaan akan memudahkan lagi sesi latihan bersama pasukan,” katanya.

-SinarHarian